Masa merupakan
sumber yang unik. Dari sehari ke sehari, setiap orang mempunyai jumlah
masa yang sama iaitu 24 jam; tidak lebih dan tidak kurang. Masa tidak dapat
dikumpulkan. Masa tidak dapat ditukar ganti. Kita tidak dapat membuka atau
menutupnya. Masa sebenarnya akan kekal atau sentiasa ada. Yang tidak kekal
ialah masa hidup kita di dunia.
Apakah yang
membezakan antara orang-orang yang berjaya dengan yang kurang berjaya?
E.M. Gray dalam eseinya "The Common Denomination of Success" menyatakan
bahawa kejayaan yang dicapai oleh orang-orang yang berjaya bukannya kerana
kerja kuat, nasib baik atau bijak dalam selok-belok perhubungan manusia
walaupun semua itu adalah penting.
Katanya:
"Orang yang
berjaya mempunyai amalan membuat perkara yang mana orang gagal tidak suka
melakukan." Satu faktor yang jelas menjadi inti kejayaan mereka ialah
orang-orang yang berjaya sentiasa mengukir amalan keberkesanan dalam hidup
mereka. Mereka sentiasa menggunakan fikiran dan tenaga mereka untuk perkara-perkara
yang berfaedah, mendahulukan apa yang paling penting dahulu serta
yang memberikan pulangan maksimum.
PRINSIP
20/80
Prinsip 20/80
sangat bertepatan dengan "seruan" di atas. Prinsip ini telah diperkenalkan
oleh Vilfredo Pareto, seorang ahli ekonomi Itali. Mengambil sempena namanya,
prinsip ini juga dikenali sebagai Prinsip Pareto.
Secara ringkasnya,
menurut prinsip ini, untuk mencapai keberkesanan pada kadar (optimum) sekitar
80% setiap hari, minggu, bulan, tahun atau dalam seumur hidup kita, kita
hendaklah menumpukan perhatian / tindakan kita terhadap perkara-perkara
atau tugasan yang paling penting dahulu. Misalnya, jika kita mempunyai
10 senarai tugasan / kerja pada hari ini dan dapat menumpu atau menyelesaikan
2 tugasan yang paling penting atau paling tinggi pulangannya, pencapaian
atau keberkesanan kita pada hari ini ialah 80%.
Jika rahsia
pengurusan masa ini dijadikan sebagai prinsip dan amalan hidup anda, anda
akan akhirnya tergolong dalam golongan orang-orang yang berkecapaian tinggi
- amat berkesan, cemerlang dan gemilang! InsyaAllah.
Oleh Taidin
Suhaimin
|